Sewaktu aku berumur 4 tahun lebih (1972) Ayah bersetuju dengan seorang tuan tanah getah untuk menoreh tanah orang yang aku tak kenal itu di Kg. Pek dalam daerah Machang.
Pada hujung tahun itu kami sekeluarga pun bersiaplah untuk berpindah. Aku menangis kerana terpaksa tinggalkan kucing kesayangan. Bila mak tengok aku kesedihan, Mak setuju untuk bawa kucing aku bersama. Aku rasa lega. Kucing tu kenaa bawa dalam guni. Bila sampai di stesen bas Kota Bharu kucing tu hamper mati. Mak suruh aku lepaskan. Aku tak nak. Akhirnya Ayah buka guni dan biarkan kucing tu pergi dengan terketar ketar. Sekali lagi airmata ku jatuh. Saat bas mahu bergerak, aku masih intai intai jika kucing tu ada sekitar itu namun bukan semua kemahuan kita jadi kenyataan.
Kami sampai di tempat tujuan tapi aku tak tau di mana. Waktu sudah senja waktu kami turun dari bas. Ayah dan Mak bercakap dengan seorang nenek. Nenek itu mengajak kami bermalam di rumahnya. Ayah setuju. Kami dilayan dengan baik oleh nenek yang membahasakan dirinya “Wo”. Keesokan paginya lepas makan pulut Wo bagi aku dan Abg Sof masing masing sebuah cawan (cederahati) Wo cakap dia tak ada apa nak bagi. Mak cakap, kami mari menumpang pun dah terima kasih. Tak perlulah bagi apa apa lagi.
Kami tunggu bas ditepi jalan. Jalan Kuala Krai masa tu memang sempit. Bila saja lori balak lalu aku rasa macam balak kat atas lori tu hampir jatuh atas aku. Aku meraung takut. Habis kalut orang yang ada kat situ. Kami naik kereta sewa sampai di simpang kampung tu kami turun dan disambut oleh tuan tanah itu. Tapi perjalanan seterusnya tak naik kereta atau bas lagi. Kena jalan kaki sebatu lebih redah denai hutan dan kebun getah. Penat sampai aku jatuh tercelepuk masa nak langkah pohon getah tumbang. Akhirnya kami sampai di rumah yang ditinggalkan rumah tu luas juga. Ada dua bilik. Tapi aku tak sempat siasat sebab penat jalan terus tertidur. Sedar je waktu dah petang. Panorama yang pertama aku nampak di depan rumah tu, dua buah bukit besar biru menghijau. Paya. Pohon kelapa nampak kecil kecil je. Asap orang membakar jerami. Dan tiga buah wau teroleng oleng dekat awan. Ada burung burung terbang menerpa angin semilir dingin ke tubuh kecilku. Waktu tu aku rasa macam nak melompat gembira dan teruja dengan panorama yang belum pernah aku lihat.
gambar ilustrasi penulis
Keluarga aku yang tinggal di rumah tu:
1) Ayah
2) Mak
3) Kak Nah
4) Abang Mat
5) Abang Sof
6) Aku
7) Zaharah (adik selepas aku)
8) Rafi (adik lepas Zaharah yang baru umur 7,8 bulan)
-Abang Syid tak ada sama sebab dia tinggal di Pasir Putih.
Di hadapan rumah tu ada telaga yang di pagar kayu. Airnya jernih tapi ada rumput rumput di tepi. Airnya dekat dengan tanah tidak jauh kedalam sesuai dengan lokasi di tepi paya. Beberapa depa dengan telaga tu ada pohon kemia yang kadang kadang menaungi telaga sewaktu mandi tengahari.
Hobi aku masa sebelum ke kg. Pek tu memancing semut pakai kemuncup di bawah rumah. Tapi waktu pertama aku pancing semut kat bawah rumah tu aku terkejut besar. Yang keluar bukan semut tapi ulat berkepala semut yang berwarna coklat. Aku lari naik ke rumah rasa kecil kepala kepala dan pucat lesi. Kak Nah Tanya kenapa, aku cakap semut dah jadi ulat. Bila aku takut nak pancing semut, aku jadi boring dan teringat kucing aku yang dah hilang di stesen Bas Kota Bharu. Masa tuan tanah datang hantar beras dan ikan kering, mak ada cakap pasal kucing aku. Tuan tanah cakap akan bawa kucingnya yang ada kat rumah. Juga warna cindai.
Abang Sof mula sekolah awal minggu itu. Abang Mat pula akan ke sekolah baru. Aku lupa nama sekolah tu. Tapi Abang Mat tentu masih ingat. Pagi limun lagi Ayah pergi hantar kedua abang aku ke sekolah. Kasut jangan pakai lagi sebab kena harung paya. Habis paya nanti baru pakai. Jalan ke sekolah lalui sebatang anak sungai yang banyak ikan. Tepi sungai tu ada pohon Samak (serai kayu) di atas pohon tu banyak kerengga. Bila ada kerengga jatuh, ikan akan sumpit kerengga itu. Sungai jadi berkucah. Ayah bawa aku waktu hari pertama menjemput abang abang aku pulang. Lain kali tak bawa lagi dah. Tegas Ayah.
Masa hari abang aku ke sekolah aku memang rasa sunyi. Ayah keluar menoreh. Mak tolong ayah menoreh kawasan belakang rumah. Tinggal lagi yang ada kat rumah tu Kak Nah, Aku, Zaharah yang dilarang turun ke tanah dan Rafi yang masih dalam buaian.
Keadaan di hutan dan bukit tu kadang kadang amat menakutkan. Bunyi mergastua dan unggas memang tak pernah henti. Bila malam lagilah sahut menyahut dengan bermacam bunyi. Ada suatu malam sekawan babi datang menyondol di bawah rumah. Ayah kumpul semua anak anak suruh duduk diam diam. Rumah rasa macam nak terbalik di sondol. Bunyi pulak macam macam. seperti orang berdengkur pun ada. Pagi esoknya aku tengok bawah rumah tempat aku pancing semut dah macam kena cangkul dan penuh tahi babi. Haiyya!
Waktu hari minggu aku boleh bermain main dengan abang abang. Kami ke tepi paya tangkap anak ikan. Sekali tu Abang Sof nak tangkap anak belut. Abang Sof siap sauk dengan tangan. Abang Mat marah..Haishh..tu lintah..bukan anak belut!” Abang Sof dan aku lari lintang pukang sambil mengentap bulu. Geli.
Peristiwa Abang Sof luka kena batang ruing yang tajam. Batang ruing macam batang bemban tapi batangnya bersegi empat dan setiap bucunya tajam. Hari tu kami sama sama pungut bunga ruing. Aku tak boleh petik sebab tak dapat sampai tangan. Abang Mat dapat putuskan. Abang sof pula boleh patahkan tapi urat batangnya tak putus. Abang Sof tarik tarik tak putus juga, lalu dia senjah kuat. Tangan Abang Sof luka berdarah. Abang Sof menangis gerun walaupun dia antara adik beradik yang tahan lasak. Selepas balut tangan Abang Sof, Ayah baca serangkap pantun;
Anak butir beliung singgoh atah gayong;
Keno batang riong jerit yong yong.
Kah kah kah kami gelak.
Suatu petang Ayah bawa balik ubi kayu letak tepi jemuran dapur. Pagi esok Kak Nah nak rebus ubi. Kak Nah karal air telaga. Entah macamana timba tu tarik Kak Nah pula. Kak Nah jatuh dalam telaga. Abang Sof pucat lesi lari naik atas rumah bagitau Mak, Kak Nah jatuh dalam telaga. Mak tengah menyusu Rafi masa tu cepat cepat letak Rafi dan hungga ke telaga. Kak Nah sempat berpaut pada akar kayu yang berelor. Sempat juga Kak Nah tertelan air dua tiga teguk. Lepas tu Kak Nah bertempik minta tolong sebab ada benda yang gigit kakinya. Bila bawa naik, Mak cakap ikan yang sumpit kaki Kak Nah. Dalam telaga tu banyak ikan sampai tergeser dengan kaki Kak Nah waktu dalam telaga tu. Alhamdulillah Kak Nah selamat. Kami sekeluarga sangat bersyukur kerana tiada kejadian yang lebih buruk. Tidak Lama lepas tu Ayah ajak kawannya datang timba telaga tu. Macam macam ikan yang besar besar keluar dari telaga tu. Ikan haruan paling besar panjang nya lebih tinggi dari aku berdiri ada beberapa ekor. Belut. Ikan keli. Ikan puyu dan sepat memang banyak. Sudah bahagi bahagikan kepada kawannya ayah simpan ikan haruan besar tu dalam leger (tong minyak selendar yang besar dipotong dua) tepi jemuran dapur. Tengahari esoknya aku macam biasalah…nak buat ekperimen. Intai ikan besar dua tiga ekor tu berkelok kelok dalam air yang cetek dalam leger. Aku acuh acuh tangan aku usik ikan tu. Tetiba je ikan haruan yang dekat sama besar dengan aku tu menggelepar. Aku terkejut macam beruk kena sergah, terus meraung macam orang masuk polong. Abang abang dan kakak gelak. Mak 'cover' aku “ ikan tu panas…bila jijak gelegar dia melompat la..”. Padahal aku yang kacau ikan tu. Rahsia aku kacau ikan tu aku baru bagitau orang setelah aku kahwin dan punya.
Kadang kadang aku dan Abg Sof ikut juga Mak menoreh di kebun kebun berdekatan rumah. Kami pungut bunga Periuk Kera. Di belakang rumah tu memang banyak terdapat spesis orkid tu. Aku memang kagum tengok tumbuhan tu lebih lagi bila Mak cerita kera kera akan turun minum air di periuk periuk mereka bila mereka dahaga. Sejak hari tu aku selalu intai kera yang turun minum air kawasan banyak periuk kera tu. Memang kera kera tu minum air dalam periuk kera tu.
Aku tak tahu berapa lama kami sekeluarga tinggal kat dalam hutan yang ada gajah harimau tu. Dan aku tak tahu juga sebab Ayah bawa kami balik semula ke Jalan Bayam. Yang aku tahu sewaktu balik aku mabuk bas dan dua kali termuntah. Sampai saja di rumah asal kami di Paya Rambai aku cepat cepat buka seluar nak berak. Terus naik pokok jambu tumbang sebelah rumah (tempat aku, abang Sof dan Abang Mat selalu berak) dan aku menjerit lagi bila tengok najis aku keluar dengan cacing. Abang Sof datang tarik caing tu keluar. Bila masuk ke dalam rumah aku terkejut tengok kucing cindai aku yang aku tinggal kat stesen bas tu ada kat rumah. Kucing akan cari jalan balik rumah kalau dia sayang tuan dia kecuali lesek minyak pada hidung dia sewaktu nak bawa kemana tu” jelas Mak.
Seminggu lepas tu aku demam cacing. Ayah comor pucuk gelanggang yang ditumbuk hancur campur kapur. Aku berak dan muntah keluar cacing. Sampai ada yang keluar melalui hidung pun ada. Aduh..penat muntah. Masa tengah tak larat nak bermain tu aku sempat tanya Ayah samada kami akan kesana lagi atau tidak. Ayah tau aku mahu jawaban “Ya” darinya. Ayah jawab “ Tak tau lagi”. Aku diam dan tak tanya lagi lepas tu. Dalam hati aku, aku mahu ke sana lagi nanti aku besar. Waktu waktu aku membesar aku selalu rindukan kampung dan suasana waktu itu. Ia kadang kadang wujud dalam mimpiku dan aku terus dewasa dengan kerinduan itu. Sungguh waktu kecil adalah waktu terindah.
Beejay
Sabtu 19.1.2013
Kota Bharu